Seorang penulis telah menghantar surat komen ke ‘The Star, untuk meluahkan rasa tidak gembira kerana telah di’ragging’ ketika menjalani sesi perkenalan di salah satu universiti awam di Malaysia.
Menurutnya, beliau dan rakan-rakan terpaksa melalui ‘peraturan-peraturan’ tidak masuk akal yang direka oleh pelajar-pelajar yang lebih ’senior’ seperti pakai 3 helai baju sahaja dalam masa seminggu dan hanya dibenarkan melakukan aktiviti senggang seperti mandi,tidur dan berehat dari pukul 2 pagi hingga 4 pagi sahaja. Oleh kerana jadual yang ketat dan aktiviti yang agak keras, para pelajar baru mengalami tekanan hingga menangis dan ada yang diserang ‘histeria’
Teringat pula saya ketika zaman persekolahan dulu. Memang sudah lali diperlaku pelbagai rupa oleh ’senior-senior’. Seingat saya, pada ketika itu, tiada siapa ynag mengadu domba. Semuanya rela dan melalukan apa saja tanpa soalaan. Lain pula dengan ‘batch’ seterusnya yang kami anggap lebih ‘manja’, kerana diherdik sedikit sudah menangis.
Fenomena ini apabila diperhatikan, bukanlah asing. Sebagaimana, tok guru silat dahulu kala menyuruh anak muridnya melakukan perlbagai kerja berat demi ilmu persilatan, mungkin begitulah yang ada di fikiran ’senior-senior’ ini. Mungkin bagi mereka, dengan mendenda pelajar-pelajar baru berjalan itik di longkang, mereka memberi pengajaran. Mungkin sebenarnya jiwa manusia akan jadi lebih kental melalui ujian fizikal. Nah, bukankah anak-anak sekarang tidak pernah bekerja berat walau sedikit. Celik mata semuanya sudah disediakan oleh ibu, kalau bukan orang gaji Indonesia masing-masing. Maka, hati dan jiwa mereka selembik tulang dan otot yang jarang diguna pakai. Mungkin, kalau bukan ’senior-senior’ ini, siapa lagi yang dapat memberi ‘cabaran fizikal’ kepada mereka?
Namun begitu, dalam menggunakan alasan ‘memperkasa jiwa’, ’senior-senior’ harus sedar bahawa ‘junior-junior’ mereka, walaupun muda beberapa tahun, adalah tergolong daripada mereka yang cerdik pandai. Yang mempunyai kemampuan berfikir dan menganalisa akan relevannnya aktiviti atau tindakan yang dikenakan kepada mereka. Kalau dikenakan aktiviti yang melampau atau tindakan yang merendahkan martabat diri mereka, sudah pasti segala apa yang ingin disampaikan tidak akan diterima. Biarlah setiap aktiviti fizikal yang dikenakan, mempunyai nilai pengajaran terus yang dapat dihayati oleh pelajar-pelajar baru. Biar apa yang badan rasai, otak juga dapat nilaikan sewajarnya. Dapat serap pengajaran dan insafi akibatnya. Barulah matlamat untuk memperkasa jiwa pelajar-pelajar baru itu terlaksana. ‘Senior-senior’ juga haruslah mampu mengupas sebab mengapa mereka mengenakan sesuatu aktiviti atau denda. Setiap tindakan harus mempunyai sebab yang munasabah dan bijak, sesuai dengan status penuntut pengajian tinggi. Apa guna memanjat tangga universiti kalau nilai fikiran masih seperti anak-anak mentah?
Kes ‘ragging’ ini, pada pendapat saya, harus dinilai dengan pandangan yang terbuka dan dengan matlamat mencari penyelesaian yang membina kepada pelajar-pelajar baru. Kadangkala, kerana pelajar-pelajar kini terlalu dimuakan dengan keindahan dan kemudahan, hati dan jiwa mereka tiada imunisasi untuk berhadapan dengan cabaran di alam dewasa yang lebih menggerunkan. Mereka tamat universiti bagai kanak-kanak meluncur riang di atas kasut roda mengharap agar terus mendapat kerjaya idaman. Hati mereka tidak dipersiapkan dengan kemungkinan kejerihan demi kejerihan yang harus dilalui sebelum mencapai sesuatu kejayaan. Konsep ‘bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian’ hanyalah tinggal sebagai simpulan bahasa yang wajib dihafal ketika darjah 2. Graduan-graduan kita menggenggam ijazah dengan hati bubur dan wajah se’naif’ bayi mendambakan disuap makanan nestum segera.
Sebagaimana bayi harus menggeser kedua tapak tangan dan menyeret lutut di lantai merangkak sebelum berjalan, mungkin pelajar-pelajar baru harus melalu sedikit keperihan ini untuk menjadi graduan yang lebih matang dan berkualiti.