Semalam aku dan kekasih hatiku pergi menonton P.Ramlee The Musical. Ramainya orang tidak terkata. Tempat letak kereta melimpah sampai keluar. Oleh kerana kami sembahyang dulu, lambat sikit. Jadi kena letak kereta dekat luar. Jalan la sikit. Tapi tak la penat.
Kami berdua tak tahu sangat pasal pementasan musikal produksi Enfiniti kali ini. Mungkin kerana kami jarang sekali menonton media massa konvensional, jadi promosi tidak sampai ke telinga kami. Mujur adikku yang memang konvensional lagi sering menonton media konvensional memberitahu aku tentang produksi ini. Sempat la beli tiket sebelum habis.
Kami dihiburkan sejak mula nota pertama lagu dilontar oleh Budak P.Ramlee ( P. Ramlee ketika kecil ). Asyik menonton gerak tari yang sangat lincah lagi serentak oleh seluruh ensemble. Latar di Penang era 50-an sangat nostalgik. Budak P.Ramlee mengisahkan tentang cinta hati pertamanya, Azizah.
Babak silih berganti, latar bertukar rupa dengan lancar sekali. Setiap latar membuatkan mulutku semakin ternganga dek keindahan lagi kecanggihan set produksi. Sungguh kemas, sungguh teliti, sungguh mengagumkan! (Melalui buku kutahu ini Raja Malik punya kerja ). Sungguh berbakat lagi istimewa Raja Malik ini pada hematku. ( boleh ke guna hemat ni? ke ini bahasa raja2? err )
Perempuan-perempuan dalam hidup P.Ramlee. Ah, sungguh seronok menghayati kisah cinta seniman Agung ini. Baru kutahu kisah hidupnya. Selama ini, hanya filem-filemnya yang menjadi bahan tontonan semenjak kecil. Ubat luka lara dengan lawak jenakanya. Tidak pernah terfikir untuk mengkaji kisah hidup dan personaliti seniman agung ini. Sebab itu aku amat berterima kasih kerana mereka mempersembahkan kisah hidupnya, buat tontonan dan pengetahuan semua peminatnya. Aku terfikir, kalaulah bapaku berminat nak tonton teater..pasti dia juga dapat menghargai kisah hidup P.Ramlee.
Kisah cinta pertama, Azizah. Mmmm…agak tepat kalau kukatakan agak kaku watak ini dipegang oleh Dato’ Siti. Bahasa mulut dan bahasa badan Siti kurang bersatu pada hematku. Nampak agak canggung. Walaupun tidak dengan babak yang lebih intim dengan Sean Ghazi ( mungkin ini yang mahu dielak ), Siti masih boleh menyampaikan perasaan dengan intensiti gerakan tangan dan pandangan mata. Mungkin juga dengan cara lenggok badan ketika berkata-kata. Tapi tidak boleh komen lebih-lebih, ini juga penglibatan lakonannya yang pertama. Kasi can la.
Atilia sebagai Junaidah sangat berkesan sekali lakonannya. Walaupun genit orangnya, auranya besar. Mampu mencuit hati penonton sebesar teater Istana Budaya. Suaranya juga cukup lunak. Percubaan pertama yang membanggakan.
Melissa Saila juga menggegarkan pentas dengan kehebatan persembahannya. Watak Norizan, isteri kedua P.Ramlee memperlihatkan karakter yang berbeza dengan isteri pertamanya, Junaidah. Kalau Junaidah lembut dan kekampungan, Norizan lantang dan agresif. Melissa Saila membawa watak ini dengan baik sekali, hingga mampu menarik penonton untuk bersimpati dengan beliau di sebalik watak keras yang dibawanya.
Liza Hanim adalah heroin sebenar buat aku. Lakonan dan suara yang mantap menjadikan beliau memang pilihan yang tepat untuk melakonkan watak Saloma. Melihat lakonannya, seolah-olah beliau biasa benar berteater. Gerak badan yang bersatu dengan tutur dialognya membuatkan penonton dapat menghayati kisah cinta P. Ramlee dan Saloma dengan lebih sempurna.
Sean Ghazi mempamerkan usaha yang mantap sebagai P.Ramlee. Memang bukan kerja yang senang. Filem P. Ramlee, gaya lakonannya, rentak tutur katanya, cukup sebati dengan rakyat Malaysia. Semua dapat menilai, ‘ha..itu P.Ramlee..ha..itu bukan P.Ramlee’. Namun, beliau berjaya menjadi P. Ramlee sehampir mungkin. Mujur beliau berpengalaman luas dalam bidang persembahan pentas. Tidak kekok menari, suaranya juga bagus.
Seluruh ensemble melakukan tugas yang sangat baik. Tarian dan nyanyian yang sungguh hidup dan bertenaga membuatkan 3 jam berlalu sekelip mata. Syabas buat Adlin, Zahim, Erwin Gutawa dan semua pasukan kreatif yang berjaya mementaskan persembahan segah ini. Hasil kerja sempurna begini memang memuaskan hati semua. Puas hati kepada yang bekerja, puas hati kepada kami yang membeli tiketnya. Ada sekali terdetik di hati aku, ‘alamak..janganlah habis lagi. ceritalah lagi’. Asyik benar menghayati kisah hidup perjalanan hidup P.Ramlee. Kalaulah boleh kutonton lagi..
Aku kena berterima kasih kepada adik aku yang konvensional itu. Entah dapat entah tidak dia membeli tiket untuk dirinya sendiri. Kalau tak dapat..boleh la aku berlagak dengan dia lepas ni!